Tuesday, March 09, 2010

Menerima Pelawat Penting

Setelah beberapa hari bertungkus lumus menyiapkan beberapa perkara penting untuk Pusat Sumber, hari ini berlangsunglah pemantauan Pusat Sumber Sekolah oleh wakil BTP iaitu Encik Ridzuan (PKG Bagan).

Secara keseluruhannya semua berjalan lancar dalam masa hampir dua jam setengah pemantauan, bermula pada jam 9.30 pagi. Istimewanya Encik Ridzuan memang seorang yang sangat teliti, cermat, halus memiliki kebolehan dalam designing. Banyak komen membina yang sangat berguna daripadanya untuk meningkatkan lagi prestasi Pusat Sumber sekolah ini. Saya sendiri banyak belajar daripadanya. Antaranya tentang rancangan kewangan, dokumentasi, susun atur dan padanan serta pengurusan aset. Apapun saya sangat bersyukur dibantu oleh rakan-rakan guru yang kreatif, ringan tulang dan rajin seperti Puan Rosmawati, Puan Zalina, Puan Rasna, Puan Hairuhana, Cik Mazliana dan Cik Salbiah. Rakan-rakan lain juga terlibat menyumbang secara tak langsung termasuk tukang sapu. Para Pengawas Perpustakaan juga tidak terkecuali membantu seperti Nisa', Mai dan lain-lain.

Pendek kata, saya kagum dengan kerjasama semua yang terlibat walaupun namanya tidak tertulis di sini. Mudah-mudahan ada ganjaran baik dari Tuhan untuk kalian semua, tidak nampak di mata, namun dapat dirasa di hati.

Semakin banyak usaha yang kita buat untuk sesuatu (unit/kerjaya/orang/....), maka semakin kita menyayanginya kerana kita sahaja yang merasa penat lelah dan susah payah membinanya. Pahit manis itu menjadi milik orang yang mengusahakannya.

0 comments:

Post a Comment