Thursday, December 10, 2009

Bugarkan yang Beku dan Lesu

Aku melangkah masuk ke Perpustakaan sebagai tenaga kerja baru sebaik saja dilantik sebagai Penyelaras Pusat Sumber sekitar pertengahan 2003.

Kudapati suasananya agak suram. Buku-buku lamanya juga berwajah usang dan muram walaupun ada juga koleksi baru. Selepas jam 9.30 pagi pasti bahang haba mulai dirasakan dan semakin membakar kulit menjelang tengahari hingga petang. Setiap hari  bekerja di situ dari pagi ibarat berada dalam sebuah oven pembakar kuih. Panasnya bersangatan. Kasihan para pelajar. Bagaimanalah mereka dapat belajar di tempat yang sebegini bahang sedangkan aku yang bekerjapun terpaksa bertahan. Walau bagaimanapun semua fail dalam keadaan baik dan tersusun. Hanya ada sebuah komputer lama di Perpustakaan yang digunakan untuk sistem automasi perpustakaan. Itupun sebagai back-up data sahaja, bukan menjalankan operasi secara terus.

Dalam cahaya yang agak malap (kerana tidak cukup pencahayaan), kucapai buku di situ satu persatu. Buku adalah antara yang aku sukai dalam hidupku. Justeru aku bersyukur dapat bertugas di perpustakaan. Namun buku-buku di situ kelihatan seperti lesu, selesu semangatku untuk membacanya. Namun aku bersimpati. Aku berlalu dengan hati yang terbuku. Tanpa jawapan tentang apa yang harus aku lakukan. Rasa bersalah pun ada jika aku tidak melakukan sesuatu.

Masa berlalu dan aku sempat menghadiri kursus mengenai Pusat Sumber. Aku sempat melihat dan bertukar-tukar fikiran dengan rakan-rakan sekursus. Lalu pada akhir 2004, sewaktu cuti sekolah akhir tahun yang agak panjang, aku bersama kumpulan pelajar-pelajar yang sedia membantu menghabiskan masa di perpustakaan setiap hari untuk mengemaskini buku-buku di perpustakaan. Antara yang kami lakukan ialah memasukkan sistem automasi perpustakaan yang beroperasi secara berkomputer. Ini termasuklah membarkodkan semua bahan buku dan kad pengguna. Data bahan dan pengguna juga disimpan secara digital selain daripada manual. Terdapat lebih daripada 25,000 buah buah kesemuanya untuk dibarkod. Pelajar-pelajarku begitu bersemangat sekali membantu walaupun terpaksa mengorbankan masa cuti.

Sistem automasi  lama ditambahbaik dengan menggantikannya dengan satu sistem automasi yang boleh beroperasi secara langsung dengan bahan buku dan pengguna. Sistem barkod dijadikan ikonnya. Di situlah bermulanya episod era baru Pusat Sumber sekolahku.

Make things happen, don't wait for things to happen. Buatlah sesuatu , jangan hanya menanti sesuatu berlaku.

0 comments:

Post a Comment